ANUGERAH MPFKL EDISI 2024
ANUGERAH MPFKL EDISI 2024
NOTA TAMBAHAN BERKENAAN PENCALONAN AMPFKL 2024
Nota Tambahan Berkenaan Pencalonan Anugerah MPFKL 2024
Jika dalam tahun 2023, terdapat himpunan filem yang cukup sesuai dibicarakan dan ditonton atas semangat pembikinannya dan kesegaran ceritanya, barisan filem 2024 dianggap sebagai filem-filem “berulang” mengikut suatu formula genre atau pemilihan tema dan premis cerita. Filem-filem sederhana banyak dihasilkan pada tahun 2024 dan tidak memberikan apa-apa nafas kesegaran yang diharapkan untuk sinema Malaysia.
Hal ini pelik, kerana jelas, beberapa peristiwa dan tragedi di Malaysia telah membuahkan beberapa karya sinema tempatan yang signifikan, memberikan inspirasi pembikinan yang menarik. Namun begitu, para pembikin filem Malaysia masih terperangkap dalam amalan mempunyai idea/premis yang baik tetapi tidak mampu direalisasikan (dihasilkan/executed) secara baik di layar, juga mempunyai idea/premis yang biasa atau klise tetapi mampu direalisasikan dengan baik di layar.
Dalam tahun 2024 juga, kesinambungan daripada tahun 2023 dan 2022, merupakan tahun kita boleh meneliti filem-filem yang keluar daripada Dana Kandungan Digital/Kreatif FINAS. Kami memuji inisiatif mulia perbadanan kerajaan ini. Untuk itu, para pengkarya sepatutnya mengguna pakai peluang ini untuk menghasilkan filem yang boleh ditonton di wayang (dan bukan hasil yang tampak bertaraf drama televisyen yang ditonton dalam ruang 43 inci), menampilkan suatu karya yang boleh beridentitikan “filem kita wajah kita”.
Hal ini bukan sahaja daripada penampilan imej, budaya dan kisah hidup dalam filem tersebut, tetapi cara penulisan, pengarahan, lakonan, kraf, dan ekspresi yang mampu mencerminkan falsafah dan jati diri kita yang tersendiri. Sebenarnya, sudah ada beberapa filem lepas kita yang mempunyai kekuatan ini, hanya perlulah diperbanyakkan lagi dan diberikan sokongan.
Semoga filem Malaysia terus hidup dan bercerita dengan kisah yang mengesankan dan memberi renungan.
Ahli-ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur
22 Februari 2025