ANUGERAH MPFKL KE-11
ANUGERAH MPFKL KE-11
SENARAI RASMI PEMENANG ANUGERAH MAJLIS PENGKRITIK FILEM KUALA LUMPUR KE-11
Pengumuman ini telah diadakan secara rasmi pada Malam Anugerah AMPFKL11 yang telah berlangsung pada 20 Jun 2026 (Sabtu) lalu, di Kafe Tiga Belas. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, dan tetamu yang telah memeriahkan majlis tersebut.
Tahniah kepada semua pemenang!
Berikut adalah senarai rasmi pemenang Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur Ke-11.
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
Sofia Jane untuk Malam Terlarang
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
Sabri Yunus untuk Malam Terlarang
Pelakon Wanita Terbaik
Sofia Jane untuk Mencari Ramlee
Pelakon Lelaki Terbaik
Hindra Bose untuk Simple Manusan
Sinematografi Terbaik
Gwai Lou untuk Macai
Lakon Layar Terbaik
Muzzamer Rahman & Bebbra Mailin untuk Ninavau
Pengarah Terbaik
Bebbra Mailin untuk Ninavau
Filem Terbaik
Macai (Penerbit: Sivanantham Perianan, Shanjey Kumar Perumal)
NOTA TAMBAHAN BAGI PENCALONAN AMPFKL KE-11
PENGHARGAAN
Sebelum kami sampaikan rumusan dan nota renungan untuk filem-filem Malaysia yang ditayangkan pada tahun 2025, izinkan saya dulu untuk sampaikan rasa suka hati dan kesyukuran atas pihak-pihak yang telah merealisasikan majlis penganugerahan malam ini, yang julung-julung kalinya diadakan, setelah 15 tahun AMPFKL digerakkan.
Saya sebagai wakil ahli majlis pengkritik yang lain ingin menyampaikan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kafe Tiga Belas, Suka Filem, Sinemacult, dan Sinemaraya yang sama-sama berganding bahu untuk mewajarkan majlis ini berlaku dengan jayanya. Mungkin juga saya perlu menyampaikan ucapan terima kasih yang khusus kepada Sdr. Ashraff Mokhtar dan Sdr. Amirul Ashraf yang berjaya mencetuskan gerakan kecil-kecilan ini tapi besar maknanya buat kami, yang sudah kami impikan tetapi tidak terdaya melakukannya sendiri, dan jelas, segala titik peluh dan usaha yang Sdr. Berdua gerakkan sudah pun menjadi kenyataan, seperti yang kita lihat pada malam ini. Jadi syabas!
Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi baik rasa nak junjung.
Kami dalam MPFKL sebenarnya sudah bergalang ganti, bertukar-tukar ahli saban tahun. Tahun lepas dan tahun ini sahaja, kami turut menarik masuk para pengkritik filem dalam kalangan pempengaruh videografi digital untuk menurut perubahan dan desakan zaman semasa. Ada juga dalam kalangan ahli kami yang terpaksa meninggalkan MPFKL kerana bermastautin ke luar negara, malah ada yang memasuki industri perfileman itu sendiri. Oleh itu, izinkan saya menyampaikan ucapan penghargaan saya kepada barisan nama MPFKL yang pertama, yang “original” orang kata, sewaktu kritikan masih berlangsung di blog, dan kami kadangkala berbincang secara maya di Kafe Siber kerana tak mampu nak beli komputer masa tu. Terima kasih kepada Nazim Masnawi, Azalan Hussain/Lan Sinaganga, Collin Yeoh dari That Movie Blogger Fella, Syafiq Ramli serta Igniz Ramly dari Dramatic Durian, Aidil Rusli, Saiful Kifler dari Perang Filem, dan Muhammad Yusof dari Review Film.
NOTA TAMBAHAN PENCALONAN AMPFKL KE-11
Sebenarnya, tahun 2025 merupakan susulan limpahan filem dari tahun 2024 apabila filem-filem yang ditayangkan di layar lebar termasuk dalam hasil Dana Kandungan Kreatif FINAS, juga filem-filem yang diusaha sama oleh himpunan produksi-produksi tertentu, juga kemunculan penerbit para usahawan niaga tertentu yang menyuntik modal untuk para pembikin filem.
Dari 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025, sebanyak 70 lebih buah filem Malaysia ditayangkan. Memang keadaan “ulang tayang” tema, genre dan premis cerita turut berlaku seperti tahun-tahun terdahulu, tetapi apa yang kami sedari, terdapat kemajuan atau dapat kita katakan, kepakaran belakang tabir yang lebih baik terhadap beberapa ciri pembikinan sesebuah filem tempatan, memandangkan filem tidak terhasil hanya daripada penentuan seorang individu, tetapi daripada janaan dan daya tindakan sekumpulan manusia yang bersama-sama menghasilkan sebuah layar yang berbicara.
Kebanyakan layar yang berbicara ini, juga cukup memaut hati khalayak penonton kita. Filem-filem ini sekurang-kurangnya sekarang mempunyai cerita, mempunyai tanda-petanda tertentu, walaupun tampil sebagai peran yang klise, malah superfisial di hadapan kita seperti wajah seorang samseng berkot atau momok hantu berambut sampai ke lantai.
Sudah ada pula filem-filem yang mempunyai premis yang berani atau jarang-jarang dapat kita lihat disentuh oleh para pembikin filem kita. Terdapat filem yang cukup berani menampilkan masalah sosial semasa seperti bayi buangan dan kanak-kanak tiada saf taraf. Namun begitu, masalah utama dalam filem-filem ini, baik yang memaut hati khalayak atau berani mencabar kelaziman ialah cerita.
Kita masih mempunyai banyak masalah dengan cerita dan cara kita bercerita di skrin. Kita ada masalah dalam penyusunan plot dan penceritaan secara visual. Penceritaan atau storytelling kita tidak menggugah, kadangkala melilau mencari arah tujuan, atau longgar dari aspek sebab-akibat.
Hal ini penting kerana cerita atau visual cerita yang terikat dan membangkitkan renungan dan persoalan yang menemukan kita dengan inti manusianya. Karya filem merupakan cerminan kita melihat diri kita sendiri. Kadangkala cermin itu sudah memantulkan diri kita, hanya bayangannya samar-samar, atau bayangannya cukup jauh terpantul, sampai kita tidak melihat diri kita di cermin.
Beberapa perkembangan menarik turut berlaku tahun lepas apabila filem dari Sabah dan Sarawak atau bolehlah kita sebutkan sebagai Sinema Borneo muncul. Sebenarnya, mereka sudah lama melahirkan filem, hanya keberadaan Sinema Borneo itu cukup terasa pada tahun lepas (namun kelihatan tidak gah pula pada tahun ini). Kebangkitan ini cukup diraikan, berserta Sinema Mahua yang masih aktif melahirkan filem daripada kalangan pembikin muda dan Sinema India Malaysia yang turut ditayangkan di panggung-panggung tertentu di serata Malaysia. Bersama-sama dengan Sinema Melayu, semua bikinan filem ini menguatkan lagi struktur yang kita sebut sebagai Sinema Malaysia yang muhibah dengan pelbagai wajah, ras, pemikiran, dan budaya.
Oleh itu, tahun ini MPFKL meraikan pelbagai filem, baik berbajet kecil atau besar yang berjaya tiba di garisan akhir pada malam ini. Kita temui filem yang menghidupkan kembali dunia gemilang wayang gambar hitam putih kita dengan persoalan yang cukup mencabar tentang persoalan pengulangan, eksistensi, juga persoalan menemui jati diri kita yang lebih baik. Kita juga temui filem tentang perjalanan rohaniah seorang mualaf, yang sebenarnya sebuah filem tentang dinamisme sebuah keluarga, juga sebuah tanah air yang kian berubah nadinya. Kita juga temui sebuah filem seram yang bergerak seperti kisah penyiasatan detektif, tetapi sebenarnya menelanjangkan sisi-sisi gelap naluri kita untuk mencapai kejayaan dalam Impian Malaysia atau Malaysian Dream. Kita juga menemui satu kisah yang cukup indah dalam perhubungan ayah dengan anak yang cukup rencah dinamis perhubungannya, disalut dengan gerakan tempo rap sebagai denyut resah hidup anak kota. Kita juga menemui yang kita mampu melencong masuk ke dalam ruang sureal, dalam dunia yang serba gelap dan penuh jenayah, kadangkala alam mimpi bernafas dalam alam sedar kita.
Daripada kepelbagaian cerita dan wajah inilah kita menemui manusianya. Kita mengenal manusianya. Semoga muncul lagi filem yang lebih mendekatkan diri kita dengan fitrah kita sebagai manusia, mengenal kehidupan manusia dan menjadi manusia yang manusiawi. Yang cukup sedar dengan kekerdilan diri dan kekhilafan jati diri, tapi cukup sedia untuk mengekspresikan keinsanannya.
Semoga kita dapat menonton filem-filem yang terus bercerita dengan kisah-kisah yang mengesankan dan memberikan renungan.
Fadli al-Akiti
Wakil MPFKL
SENARAI PENDEK RASMI CALON-CALON ANUGERAH MAJLIS PENGKRITIK FILEM KUALA LUMPUR KE-11
Untuk penganjuran kali kesebelas ini, Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur (MPFKL) telah bersidang bagi menilai dan mempertimbangkan filem-filem tempatan yang telah ditayangkan dari 1 Januari 2025 sehingga 31 Disember 2025. Tempoh penelitian telah dijalankan bermula 6 April 2026 hingga 8 Mei 2026.
Berikut adalah senarai pendek rasmi calon-calon Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur Ke-11.
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
Sofia Jane untuk Malam Terlarang
Mimi Lana untuk Mencari Ramlee
Tati Eliana Tonny untuk Ninavau
Shamini Shradha untuk Simple Manusan
Asmidar untuk 6 Jilake
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
Wan Hanafi Su untuk Badak
Sabri Yunus untuk Malam Terlarang
Kuben Mahadevan untuk Macai
Idan Aedan untuk Abah Saya Uncle Mike
Syazwan Zulkifly untuk Blood Brothers
Pelakon Wanita Terbaik
Sofia Jane untuk Mencari Ramlee
Jovenea Jim untuk Ninavau
Aida Amron untuk Badak
Fish Liew untuk Pavane for an Infant
Shasha Abedul untuk Malam Terlarang
Pelakon Lelaki Terbaik
Shaheizy Sam untuk Badak
Beto Kusyairy untuk Gayong
Karnan Kanapathy untuk Macai
Hindra Bose untuk Simple Manusan
Zul Ariffin untuk Malam Terlarang
Sinematografi Terbaik
Nurhanisham Muhammad untuk Malam Terlarang
Nicholas Chin untuk Blood Brothers: Bara Naga
Hafiz Rashid untuk Mencari Ramlee
Gwai Lou untuk Macai
Bayu Prihantoro Filemon untuk Ninavau
Lakon Layar Terbaik
Megat Shahrizal & Lepat Hafiz untuk Mencari Ramlee
Muzzamer Rahman & Bebbra Mailin untuk Ninavau
Hazo Mahayuddin, Nazifdin Nasrudin & Haris M. Nor untuk Malam Terlarang
Shobaan Haran Kaveri untuk Simple Manusan
Nassarudin Ab Rasif untuk Denu
Pengarah Terbaik
Sun-J Perumal untuk Macai
Bebbra Mailin untuk Ninavau
Raihan Halim untuk Badak
Nurhanisham Muhammad untuk Malam Terlarang
Usamah Zaid & Nazmi Yatim untuk Ejen Ali The Movie 2
Filem Terbaik
Malam Terlarang (Penerbit: Hazo Mahayuddin, Gayatri Su-Lin Pillai, Penerbit Eksekutif: Raja Jastina Raja Arshad)
Ninavau (Penerbit: Azharul Azmir, Bebbra Mailin & Muzzamer Rahman)
Badak (Penerbit: Asra Aman. Penerbit Eksekutif: Pauline Chia, Juliana Foo dan Esther Hau)
Mencari Ramlee (Penerbit: Syahid Johan, Megat Sharizal. Penerbit Eksekutif: Rosmarayu Mokhtar, Faizul A. Rashid)
Macai (Penerbit: Sivanantham Perianan, Shanjey Kumar Perumal)
TAMAT
SIARAN MEDIA:
PENGUMUMAN CALON-CALON ANUGERAH MPFKL EDISI KE-11 PADA 6 JUN,
MALAM ANUGERAH BERLANGSUNG 20 JUN INI.
KUALA LUMPUR, 24 Mei 2026 — Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur (MPFKL) akan mengumumkan senarai pendek pencalonan bagi Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur (AMPFKL) Edisi Ke-11 pada 6 Jun 2026 menerusi Sidang Sinema Raya, hasil kerjasama bersama Sinema Raya, sebuah komuniti pencinta filem tempatan yang aktif dalam aktiviti apresiasi sinema.
Pengumuman tersebut bakal menyenaraikan lima pencalonan terbaik bagi setiap kategori yang dipertandingkan sempena AMPFKL tahun ini.
Majlis penyampaian anugerah pula akan berlangsung pada 20 Jun 2026 di Kafe Tiga Belas, Shah Alam, dengan menghimpunkan pengkritik filem, penggiat industri serta pengkarya tempatan dalam meraikan karya-karya filem terbaik sepanjang tahun.
Pada sebelah petang hari yang sama, MPFKL turut akan menganjurkan “Pasca Wayang”, sebuah program khas yang meraikan budaya kritikan filem menerusi pelbagai aktiviti seperti diskusi, kelas dan wacana berkaitan filem dan sinema tempatan.
Kedua-dua acara tersebut juga akan disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial rasmi AMPFKL bagi membolehkan peminat filem dan orang ramai mengikuti perkembangan anugerah ini secara dalam talian.
Penganjuran edisi ke-11 ini diteruskan sebagai usaha memperkukuhkan budaya apresiasi filem tempatan selain memberi pengiktirafan terhadap mutu seni, pencapaian teknikal dan kekuatan penceritaan dalam sinema Malaysia.
Ditubuhkan pada November 2011, Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur merupakan sebuah kelompok pengkritik filem yang terdiri daripada editor, penulis, blogger serta pencipta kandungan yang aktif menulis dan membincangkan filem-filem tempatan dan antarabangsa.
Sejak diperkenalkan, Anugerah MPFKL menjadi antara platform penghargaan filem yang menilai karya dari sudut pandang pengkritik dan pemerhati seni, dengan penekanan terhadap nilai artistik serta mutu sinematik sesebuah karya.
Kerjasama bersama Sinema Raya bagi pengumuman senarai pendek tahun ini juga diharap dapat membuka ruang interaksi lebih luas antara komuniti filem, pengkritik, pengkarya dan penonton dalam memperkasakan ekosistem sinema tempatan.
Maklumat lanjut mengenai Anugerah MPFKL Edisi Ke-11 boleh diperoleh menerusi laman rasmi MPFKL di https://www.mpfkl.my/
TAMAT